Dengan memperkasakan peranan guru dalam melahirkan modal insan berkualiti adalah antara tujuan terpenting dalam usaha memberikan insentifkepada bidang pendidikan di negara ini. oleh itu, dalam melahirkan modal insan, peranan kerajaan dan guru menjadi tonggak utama ke arah kejayaannya.
Dalam era globalisasi, guru perlu menghadapi cabaran semasa dalam proses pendidikan antaranya berkaitan intergrasi nasional, pendemokrasian pendidikan, tonggak pendidikan, globalisasi dalam pendidikan, kepelbagaian budaya, pengaruh perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi serta gejala sosial di kalangan pelajar merupakan antara cabaran terbesar yang dilalui dan diuruskan oleh pihak guru.
Justeru, kerajaan tidak mengambil mudah dan memandang ringan usaha memperkasa peranan guru dengan memberikan latihan, kursus, ceramah dan juga motivasi supaya dapat memberikan kesan kepada pelajar melalui pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
Kejayaan dan kecemerlangan pelajar banyak bergantung pada kehebatan pengajaran dan pembelajaran guru di dalam kelas. Jika guru dapat menyampaikan isi pengajaran dengan baik dan berkesan, pelajar mudah memahaminya serta dapat menjawab soalan peperiksaan dengan cemerlang.
Sebanyak 11 anjakan utama untuk mentransformasikan sistem pendidikan negara dalam PPPM dan juga teras dan dasar pembangunan insan mestilah difahami oleh semua terutama guru sebagai pelaksana dalam pendidikan anak bangsa bagi memperkasa generasi muda pada masa depan.
